Jumaat, 6 Mac 2020

Apabila Ketua Menteri Hilang Sokongan Majoriti

Isu pembentukan dan pembubaran kerajaan hangat lagi termasuklah di peringkat negeri Melaka apabila bekas Ketua Menteri, YB Adly Zahari menyatakan pendirian beliau yang mendakwa tidak akan meletakkan jawatan sekalipun selepas permintaan untuk membubarkan DUN Melaka telah ditolak oleh TYT Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Walaupun terdapat perbezaan, Perlembagaan Negeri Melaka secara asasnya mempunyai peruntukan yang mirip kepada Perlembagaan Persekutuan dalam soal pembentukan & pembubaran kerajaan, berdasarkan kepada konsep demokrasi berparlimen ala Westminster.

Sekiranya seorang Ketua Menteri telah hilang sokongan majoriti ADUN, beliau cuma memiliki dua pilihan sahaja:

1. Meletakkan jawatan
2. Memohon pembubaran Dun

Sekiranya permohonan pembubaran DUN ditolak, maka Ketua Menteri tiada pilihan melainkan meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada ADUN yang mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Isu kuasa Agong / Sultan / Yang DiPertua Negeri untuk memecat ketua eksekutif masih tidak muktamad. Akan tetapi keperluan ketua eksekutif untuk meletakkan jawatan selepas hilang sokongan majoriti adalah satu kewajipan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan juga negeri-negeri. Mengatakan sebaliknya adalah satu hal yang gila (madness) dan sia-sia (absurd).

Tindakan YB Adly yang memohon agar DUN dibubarkan, dan telahpun ditolak, menunjukkan bahawa beliau sendiri sedar bahawa beliau tidak lagi memiliki sokongan majoriti ADUN. Jadi di bawah Perlembagaan Negeri Melaka, hanya satu pilihan yang ada iaitu meletakkan jawatan.

Kewajipan meletakka jawatan ini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes lompat parti di Perak. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa:

The word 'shall', in our opinion, ought to be given a mandatory effect, otherwise, it would lead to political uncertainty in the state. The appellant cannot continue to govern after having lost the support of the majority. To allow him to do so would be going against the basic principle of democracy. However, we would add that this by no means is the end of the matter, as it is always open to the appellant to bring a vote of no confidence against the respondent in the LA or make a representation to HRH at any time if he thinks that the respondent does not enjoy the support of the majority of the members of the LA.[1]

Dan sekalipun YB Adly berdegil tidak mahu meletakkan jawatan, ianya tidak akan memberi apa-apa erti kerana sebaik sahaja beliau enggan meletakkan jawatan, jawatan Ketua Menteri dan kabinet akan dianggap dikosongkan (deemed vacated).

Upon the refusal by the plaintiff to do so, the members of the Cabinet including the plaintiff herein are deemed to have vacated their position. This effectively means the whole Cabinet including the plaintiff in OS 57.[2]

Walau apapun kecaman terhadap kerajaan pintu belakang, faktanya jelas bahawa Pakatan Harapan sendiri telah gagal untuk melakukan sebarang reformasi bagi mewajibkan sokongan majoriti hanya boleh dipersembahkan melalui dewan perwakilan. Jadi prinsip di bawah kes ini kekal mengikat dan membenarkan amalan kerajaan pintu belakang.

Pimpinan Pakatan Harapan harus sedar beza di antara apa yang mematuhi undang-undang tidak semestinya bermoral (what is legal may not necessarily moral). Dan apa yang tidak bermoral tidak semestinya melanggar undang-undang. Naratif kerajaan pintu belakang adalah kesalahan dari sudut moral dan bukannya undang-undang. Melainkan adanya bukti bahawa pembuktian sokongan dibuat dengan cara salah (misrepresentation, duress, etc).

[1] Dato' Seri Ir Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin v Dato' Seri Dr Zambry bin Abdul Kadir (Attorney General, intervener) [2010] 2 MLJ 285
[2] Tan Sri Musa Hj Aman v Tun Datuk Seri Panglima Hj Juhar Hj Mahiruddin & Anor and another case [2019] 10 MLJ 329



Tiada ulasan:

Catat Ulasan