Jumaat, 10 Julai 2020

Bolehkan Keputusan Parti Politik Dicabar?


Perkembangan terbaru politik tanahair menyaksikan lima pimpinan BERSATU yang memilih untuk tidak bersama membentuk kerajaan Perikatan Nasional telah disingkirkan dari parti BERSATU.

Adakah pimpinan BERSATU ini (dengan gelaran BERLIMA) boleh membawa isu pembatalan keahlian mereka ke Mahkamah untuk dibatalkan?

Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 secara jelas memberi kuasa kepada parti-parti politik untuk memuktamadkan hal ehwal parti masing-masing tanpa ganggu gugat oleh mahkamah.

Seksyen 18C menyatakan bahawa:

18C KEPUTUSAN PARTI POLITIK ADALAH MUKTAMAD DAN KONKLUSIF

Keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberikuasa olehnya atau oleh perlembagaannya atau kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya tentang pentafsiran perlembagaan, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturannya atau tentang apa-apa perkara yang berhubung dengan hal ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan, dan tiada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan kesahan keputusan itu.

Secara ringkasnya keputusan yang dibuat oleh parti politik tidak boleh dicabar di mahkamah.

Berdasarkan kes Pendaftar Pertubuhan v Datuk Justin Jinggut [2013] 3 MLJ 16, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Seksyen 18C menghalang mahkamah dari mengganggu keputusan yang dibuat oleh parti politik.

Begitu juga di dalam kes Anina Saadudin v Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor & Anor [2015] MLJU 2372, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa mahkamah adalah terhalang dari mengadili pertikaian Anina Saadudin yang dipecat dari UMNO berdasarkan peruntukan Seksyen 18C ini.

Jadi sekiranya BERLIMA mahu mencabar pembatalan keahlian mereka, mereka haruslah terlebih dahulu mendapatkan pengisytiharan dari mahkamah bahawa Seksyen 18C ini tidak berperlembagaan kerana menafikan hak mereka untuk membuat semakan kehakiman.

WALAU BAGAIMANAPUN, situasinya mungkin sedikit berbeza memandangkan timbul pertikaian berhubung kuasa Setiausaha Kerja BERSATU, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya (yang dikhabarkan juga sudah dipecat) untuk membuat keputusan berhubung pembatalan keahlian BERLIMA. Sekiranya SUK tidak berkuasa, maka pembatalan ini boleh dipertikai.

Peruntukan Seksyen 18C menyatakan bahawa mahkamah tidak boleh mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh 'parti politik atau mana-mana orang yang diberikuasa olehnya atau oleh perlembagaannya'. Jadi sebelum Seksyen 18C boleh digunakan untuk membatalkan sebarang kes, keputusan itu perlulah ditentukan sebagai sah terlebih dahulu.

Saya percaya bahawa sekiranya keputusan yang dibuat adalah tidak selari dengan perlembagaan parti, maka Peruntukan ini tidak melindungi keputusan tersebut.

Adalah sangat baik sekiranya BERLIMA membawa kes ini ke mahkamah untuk membolehkan mahkamah membuat tafsiran baru berhubung Seksyen 18C ini.

Adalah diharap bahawa mahkamah akan mengambil pendekatan yang lebih baik dan melindungi hak ahli parti berbanding niat penggubal undang-undang semata-mata.

Nota: Seksyen 18C adalah merupakan pindaan kepada Akta Pertubuhan 1966. Dalam membentangkan rang undang-undang pindaan ini bagi bacaan kali kedua, Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir menyatakan bahawa:

Pindaan kepada Undang-undang Pertubuhan ini terhad hanya kepada pentadbiran dan perjalanan parti politik sebagai parti politik. Ia akan menghalang penggunaan proses kehakiman untuk kepentingan politik ahli-ahli atau pemimpin-pemimpin parti politik. Ia akan membebaskan mahkamah daripada membuat keputusan-keputusan politik. Mahkamah dan sistem kehakiman tidak lagi dapat diperalatkan oleh orang-orang politik untuk mencapai kepentingan diri mereka sendiri.

[Rang undang-undang ini telah diluluskan dengan sokongan 72 ahli parlimen berbanding 21 menentang.]
Sumber: Hansard 13 Disember 1989



Ahad, 3 Mei 2020

Kerahsiaan Sidang Parlimen?

Persidangan parlimen bukanlah termasuk dalam hal-hal rahsia yang tidak boleh didedahkan kepada umum. Apa yang diucapkan dan dibahaskan di persidangan parlimen akan direkodkan sebagai hansard.

Ini bukan sekadar point penting perbahasan tetapi termasuklah perkara-perkara kecil dan lekeh seperti ketuk mikrofon dan sebagainya:

Ada masalah sedikit mikrofon ini. Tekan butang pun lampu dia tidak menyala[1].

Hansard atau penyata rasmi tidak dicatat sekadar sebagai rekod rasmi semata-mata. Antaranya ia dicatat bagi merekodkan hasrat kerajaan dalam meluluskan undang-undang.

Sebagai contoh, undang-undang untuk menyekat hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang bagi menyekat hak di bawah peruntukan ini. Walau bagaimanapun kuasa ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh parlimen. Mahkamah masih mempunyai kuasa untuk menentukan samada sekatan tersebut wajar atau tidak.

Dan bagaimanapula mahkamah dapat menentukan kewajaran sekatan tersebut? Tidak dapat dapat mahkamah perlu merujuk kepada perbahasan Menteri yang terbabit ketika mengusulkan sekatan tersebut.

Di dalam kes AUKU4 yang terkenal, Hakim Mahkamah Rayuan ketika itu, Dato’ Mohd Hishamudin Mohd Yunus telah membuat rujukan kepada penyata rasmi Dewan Rakyat bagi mencari hasrat sebenar kerajaan dalam membuat sekatan terhadap hak pelajar untuk berpersatuan di bawah AUKU. Menurut beliau:

Having read the above, I must say that I am unable to find any explanation as to the link between prohibiting university students from expressing support for or opposition against a political party and the maintenance of public order or public morality. Indeed, in the speech, there is not even any mention of public disorder as a result of students expressing their view in support for or in opposition to political parties. On the contrary, the Minister spoke about the preservation of the fundamental rights of the students as provided for by the Federal Constitution and in accordance with ‘international best practices’[2]

Dan juga di dalam kes bekas Speaker DUN Perak di Mahkamah Rayuan di mana Hakim Mahkamah Rayuan ketika itu, Abdul Malik bin Ishak menerimabaik rujukan kepada penyata rasmi DUN Perak:

Next, learned counsel for the defendant referred to the Hansard and made reference to it. We endorsed such an approach[3].

Bahkan mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan juga mengiktiraf fungsi hansard:

On this point our Courts have had on occasion before referred to the Hansard to assist in interpreting the true intention of the Legislature in enacting the laws it had passed[4].

Cukuplah tiga contoh ringkas sahaja berkenaan pemakaian hansard atau penyata rasmi.

Penyata rasmi persidangan parliamen adalah sangat penting bagi merekodkan hasrat kerajaan. Ianya bukanlah satu hal remeh yang tiada kepentingan.

Dan untuk pengetahuan semua sidang parlimen juga boleh ditonton di media sosial dan juga saluran parlimen di HyppTV. Ini contoh jelas bahawa sidang parlimen boleh diikuti oleh sesiapa sahaja yang berkehendak.
----
[1] Penyata Rasmi - 17 Disember 2012 [Halaman : 44]
[2] [2011] MLJU 770
[3] [2010] MLJU 980
[4] [2012] 2 MLJ 8



Jumaat, 6 Mac 2020

Apabila Ketua Menteri Hilang Sokongan Majoriti

Isu pembentukan dan pembubaran kerajaan hangat lagi termasuklah di peringkat negeri Melaka apabila bekas Ketua Menteri, YB Adly Zahari menyatakan pendirian beliau yang mendakwa tidak akan meletakkan jawatan sekalipun selepas permintaan untuk membubarkan DUN Melaka telah ditolak oleh TYT Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Walaupun terdapat perbezaan, Perlembagaan Negeri Melaka secara asasnya mempunyai peruntukan yang mirip kepada Perlembagaan Persekutuan dalam soal pembentukan & pembubaran kerajaan, berdasarkan kepada konsep demokrasi berparlimen ala Westminster.

Sekiranya seorang Ketua Menteri telah hilang sokongan majoriti ADUN, beliau cuma memiliki dua pilihan sahaja:

1. Meletakkan jawatan
2. Memohon pembubaran Dun

Sekiranya permohonan pembubaran DUN ditolak, maka Ketua Menteri tiada pilihan melainkan meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada ADUN yang mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Isu kuasa Agong / Sultan / Yang DiPertua Negeri untuk memecat ketua eksekutif masih tidak muktamad. Akan tetapi keperluan ketua eksekutif untuk meletakkan jawatan selepas hilang sokongan majoriti adalah satu kewajipan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan juga negeri-negeri. Mengatakan sebaliknya adalah satu hal yang gila (madness) dan sia-sia (absurd).

Tindakan YB Adly yang memohon agar DUN dibubarkan, dan telahpun ditolak, menunjukkan bahawa beliau sendiri sedar bahawa beliau tidak lagi memiliki sokongan majoriti ADUN. Jadi di bawah Perlembagaan Negeri Melaka, hanya satu pilihan yang ada iaitu meletakkan jawatan.

Kewajipan meletakka jawatan ini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes lompat parti di Perak. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa:

The word 'shall', in our opinion, ought to be given a mandatory effect, otherwise, it would lead to political uncertainty in the state. The appellant cannot continue to govern after having lost the support of the majority. To allow him to do so would be going against the basic principle of democracy. However, we would add that this by no means is the end of the matter, as it is always open to the appellant to bring a vote of no confidence against the respondent in the LA or make a representation to HRH at any time if he thinks that the respondent does not enjoy the support of the majority of the members of the LA.[1]

Dan sekalipun YB Adly berdegil tidak mahu meletakkan jawatan, ianya tidak akan memberi apa-apa erti kerana sebaik sahaja beliau enggan meletakkan jawatan, jawatan Ketua Menteri dan kabinet akan dianggap dikosongkan (deemed vacated).

Upon the refusal by the plaintiff to do so, the members of the Cabinet including the plaintiff herein are deemed to have vacated their position. This effectively means the whole Cabinet including the plaintiff in OS 57.[2]

Walau apapun kecaman terhadap kerajaan pintu belakang, faktanya jelas bahawa Pakatan Harapan sendiri telah gagal untuk melakukan sebarang reformasi bagi mewajibkan sokongan majoriti hanya boleh dipersembahkan melalui dewan perwakilan. Jadi prinsip di bawah kes ini kekal mengikat dan membenarkan amalan kerajaan pintu belakang.

Pimpinan Pakatan Harapan harus sedar beza di antara apa yang mematuhi undang-undang tidak semestinya bermoral (what is legal may not necessarily moral). Dan apa yang tidak bermoral tidak semestinya melanggar undang-undang. Naratif kerajaan pintu belakang adalah kesalahan dari sudut moral dan bukannya undang-undang. Melainkan adanya bukti bahawa pembuktian sokongan dibuat dengan cara salah (misrepresentation, duress, etc).

[1] Dato' Seri Ir Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin v Dato' Seri Dr Zambry bin Abdul Kadir (Attorney General, intervener) [2010] 2 MLJ 285
[2] Tan Sri Musa Hj Aman v Tun Datuk Seri Panglima Hj Juhar Hj Mahiruddin & Anor and another case [2019] 10 MLJ 329