Selasa, 19 Mac 2019

Statut Rom & Mahkamah Jenayah Antarabangsa

Sekali lagi keputusan Malaysia untuk menjadi salah sebuah negara anggota kepada Statut Rom yang menubuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah dikritik sebagai satu cubaan untuk menggadaikan maruah serta kedaulatan Yang DiPertuan Agong (YDPA).

ICC sebagai satu organ yang bertanggungjawab mengadili jenayah oleh negara anggota terhadap negara anggota yang lain, berkuasa, sebagaimana peruntukan Artikel 5 untuk mengadili jenayah sebagaimana berikut:

1. Pembunuhan beramai-ramai (dengan perincian di bawah Artikel 6)
2. Jenayah kemanusiaan (dengan perincian di bawah Artikel 7)
3. Jenayah perang (dengan perincian di bawah Artikel 8 )
4. Jenayah keganasan

Kuasa ICC untuk mengadili jenayah-jenayah ini adalah bergantung kepada situasi berikut (Artikel 17):

1. Samada negara yang mempunyai kuasa (jurisdiction) ke atas jenayah tersebut tidak mahu atau tidak mampu untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan.
2. Samada sekiranya jenayah tersebut telahpun disiasat oleh negara yang mempunyai kuasa dan negara tersebut telahpun mengambil keputusan untuk tidak melakukan pendakwaan terhadap jenayah tersebut, ianya bukanlah kerana negara tersebut tidak mampu atau tidak mahu untuk melakukan pendakwaan.
3. Samada pelaku telahpun dibicarakan bagi jenayah tersebut.
4. Samada jenayah tersebut cukup serius untuk diadili oleh ICC.

Sangat penting untuk difahami bahawa ICC adalah organ yang ditubuhkan bagi melengkapkan kuasa yang ada pada sesebuah negara untuk menyiasat jenayah-jenayah kejam. Preamble bagi Statut Rom jelas menyatakan bahawa:

" ... the International Criminal Court established under this Statute shall be complementary to national criminal jurisdictions."

ICC bukanlah sebuah organ pengadilan yang ditubuhkan bagi menggantikan mahkamah di dalam negara anggota sebagaimana Mahkamah Keadilan Eropah (European Court of Justice) yang ditubuhkan bagi mengadili pertikaian antara negara anggota Kesatuan Eropah. Sebaliknya ICC hanya bertindak sebagai pelengkap kepada sistem mahkamah yang sediada terpakai dalam negara anggota tersebut sekiranya undang-undang negara tersebut tidak mampu untuk mengadili jenayah tersebut.

Antara peruntukan Statut Rom yang dikritik adalah Artikel 27 dan Artikel 28(a).

Artikel 27 Statut Rom menetapkan bahawa bagi tujuan pendakwaan, sebarang jawatan rasmi dan kekebalan yang dimiliki seiring dengan penjawatan tersebut adalah tidak terpakai dan tidak boleh menghalang pendakwaan oleh ICC.

Artikel 28(a) pula menetapkan bahawa ketua angkatan tentera atau komander tentera sesebuah negara adalah bertanggungjawab terhadap jenayah yang dilakukan oleh pegawai bawahannya. Walau bagaimanapun syarat yang ditetapkan bagi pemakaian Artikel 28(a) adalah komander tersebut haruslah, 

" ... effectively acting as military commander shall be criminally responsible for crimes ... committed by forces under his or her effective command and control, or effective authority and control ... over his failure to exercise control properly over such forces ...".

Ketua angkatan tentera atau komander tersebut tidak boleh didakwa semata-mata kerana dia menjawat jawatan tersebut. Akan tetapi, sebagaimana jenayah biasa, dia haruslah tahu dan sedar akan wujudnya jenayah tersebut dan dia haruslah terlibat sebagai pemberi arahan atau sekalipun bukan pemberi arahan, tidak berbuat apa-apa bagi menghalang berlakunya jenayah tersebut.

Tribunal-tribunal antarabangsa sebelum ini telah menerangkan secara jelas mengenai elemen-elemen yang perlu dipenuhi sebelum sabitan terhadap komander tentera dibuat.

Sebagai contoh pada 2009, dalam mengesahkan pertuduhan terhadap Jean-Pierre Bemba Gombo, ICC telah menetapkan elemen berikut yang perlu dipenuhi:

[…] in order to prove criminal responsibility within the meaning of article 28(a) of the Statute for any of the crimes set out in articles 6 to 8 of the Statute, the following elements must be fulfilled:
(a) The suspect must be either a military commander or a person effectively acting as such;
(b) The suspect must have effective command and control, or effective authority and control over the forces (subordinates) who committed one or more of the crimes set out in articles 6 to 8 of the Statute;
(c) The crimes committed by the forces (subordinates) resulted from the suspect’s failure to exercise control properly over them;
(d) The suspect either knew or, owing to the circumstances at the time, should have known that the forces (subordinates) were committing or about to commit one or more of the crimes set out in article 6 to 8 of the Statute; and:
(e) The suspect failed to take the necessary and reasonable measures within his or her power to prevent or repress the commission of such crime(s) or failed to submit the matter to the competent authorities for investigation and prosecution.”

Berdasarkan peruntukan-peruntukan di atas, berasaskah kebimbangan tentang tergugatnya kedaulatan dan kekebalan YDPA?

Sudah tentu tidak. Sekalipun Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan YDPA sebagai Pemimpin Tertinggi angkatan tentera persekutuan, Baginda bukanlah pemimpin yang bertanggungjawab secara 'de jure' (langsung) untuk mengeluarkan arahan ketenteraan.

Sebaliknya ketua yang sebenar-benarnya boleh dikatakan sebagai mempunyai 'effective command and control' sudah tentu lebih relevan kepada Panglima Angkatan Tentera.

Kedudukan YDPA sebagai Pemimpin Tertinggi angkatan tentera persekutuan tidak meletakkan baginda sebagai komander atau orang atasan yang mempunyai 'effective control' ke atas mana-mana angkatan tentera di Malaysia. Kedudukan baginda adalah lebih kepada simbolik kepada sistem Raja berperlembagaan yang sentiasa meletakkan baginda pada kedudukan tertinggi dalam mana-mana cabang pentadbiran negara.

Sebagai contoh, sekalipun Perkara 39 memberikan kuasa eksekutif Persekutuan kepada YDPA, ianya adalah simbolik dan baginda tidak mempunyai kuasa secara langsung untuk terlibat di dalam keputusan-keputusan kabinet. Realitinya kuasa eksekutif Persekutuan adalah secara 'de jure' ahli jemaah Menteri termasuklah perdana menteri.

Maka tanggapan bahawa Statut Rom ini akan mengancam kedudukan serta kedaulatan YDPA semata-mata kerana baginda adalah Pemimpin Tertinggi angkatan tentera persekutuan adalah tidak tepat dan melencong dari tafsiran-tafsiran serta duluan-duluan (precedent).

Malah adalah sungguh memalukan dan mengaibkan sekiranya kita beranggapan bahawa YDPA tergamak untuk melakukan, mengeluarkan arahan kepada pihak lain untuk melakukan, atau membiarkan pihak lain melakukan jenayah-jenayah kemanusiaan yang bukan sahaja menjejaskan mangsa tetapi juga turut menjejaskan keamanan serantau.

Adalah penting untuk difahami bahawa Statut Rom ini adalah bertujuan bagi menyiasat jenayah-jenayah kemanusiaan yang cukup melampau yang seringkali melibatkan lebih dari satu negara. Jenayah yang berlaku ketika peperangan sudah tentu tidak boleh diadili dengan baik sekiranya melibatkan warga yang berbeza. Negara yang terlibat melakukan jenayah tersebut sudah tentu akan melindungi warganya sendiri. Jadi bagaimana keadilan dapat ditegakkan?

Statut Rom bukanlah bertujuan untuk mencampuri urusan negara anggota dengan isu jenayah domestik seperti bunuh, rompak dan rogol. Sebaliknya ia menyentuh perbuatan jenayah yang begitu teruk dan kejam yang melampau batas kemampuan sesebuah negara khususnya negara yang dilanda konflik dalaman.

Dan sebagaimana dinyatakan di atas, ICC hanya bertindak sebagai pelengkap kepada sistem keadilan negara anggota. Sekiranya negara anggota mampu dan mahu menyiasat jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh warganya sendiri, tiada lagi keperluan untuk ICC masuk campur.

Adalah dangkal untuk kita menolak penyertaan negara ke dalam statut ini semata-mata kerana negara lain juga menolaknya. Sebagai negara anggota dunia sudah tentu kita mahu melihat jenayah-jenayah antarabangsa diadili dengan sebaiknya. Lihatlah bagaimana negara haram Israel menjarah negara Palestin tanpa pengadilan. Bagaimana kita, jika menolak Statut Rom, mahu mendesak Israel diadili?

Penting untuk kita memahami bahawa ICC adalah organ yang sangat mustahak di dalam suasana yang kacau bilau seperti peperangan. Ia tidak boleh dilihat dalam suasana yang sama sebagaimana undang-undang domestik kita seperti Kanun Keseksaan.

Fikirkanlah bahawa ICC ini bukanlah hanya pisau yang boleh memotong kita sahaja, tetapi kita juga boleh menggunakan ia untuk memotong orang lain. Sekiranya negara lain dengan sewenang-wenang melakukan pembersihan etnik terhadap warga kita, bolehkah kita percaya pada negara tersebut untuk memberikan keadilan kepada kita?

Tidak salah kita menentang sesuatu, tetapi biarlah dibuat dengan fakta dan bukan bersandarkan sentimen semata-mata.