Jumaat, 10 Julai 2020

Bolehkan Keputusan Parti Politik Dicabar?


Perkembangan terbaru politik tanahair menyaksikan lima pimpinan BERSATU yang memilih untuk tidak bersama membentuk kerajaan Perikatan Nasional telah disingkirkan dari parti BERSATU.

Adakah pimpinan BERSATU ini (dengan gelaran BERLIMA) boleh membawa isu pembatalan keahlian mereka ke Mahkamah untuk dibatalkan?

Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 secara jelas memberi kuasa kepada parti-parti politik untuk memuktamadkan hal ehwal parti masing-masing tanpa ganggu gugat oleh mahkamah.

Seksyen 18C menyatakan bahawa:

18C KEPUTUSAN PARTI POLITIK ADALAH MUKTAMAD DAN KONKLUSIF

Keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberikuasa olehnya atau oleh perlembagaannya atau kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya tentang pentafsiran perlembagaan, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturannya atau tentang apa-apa perkara yang berhubung dengan hal ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan, dan tiada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan kesahan keputusan itu.

Secara ringkasnya keputusan yang dibuat oleh parti politik tidak boleh dicabar di mahkamah.

Berdasarkan kes Pendaftar Pertubuhan v Datuk Justin Jinggut [2013] 3 MLJ 16, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Seksyen 18C menghalang mahkamah dari mengganggu keputusan yang dibuat oleh parti politik.

Begitu juga di dalam kes Anina Saadudin v Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor & Anor [2015] MLJU 2372, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa mahkamah adalah terhalang dari mengadili pertikaian Anina Saadudin yang dipecat dari UMNO berdasarkan peruntukan Seksyen 18C ini.

Jadi sekiranya BERLIMA mahu mencabar pembatalan keahlian mereka, mereka haruslah terlebih dahulu mendapatkan pengisytiharan dari mahkamah bahawa Seksyen 18C ini tidak berperlembagaan kerana menafikan hak mereka untuk membuat semakan kehakiman.

WALAU BAGAIMANAPUN, situasinya mungkin sedikit berbeza memandangkan timbul pertikaian berhubung kuasa Setiausaha Kerja BERSATU, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya (yang dikhabarkan juga sudah dipecat) untuk membuat keputusan berhubung pembatalan keahlian BERLIMA. Sekiranya SUK tidak berkuasa, maka pembatalan ini boleh dipertikai.

Peruntukan Seksyen 18C menyatakan bahawa mahkamah tidak boleh mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh 'parti politik atau mana-mana orang yang diberikuasa olehnya atau oleh perlembagaannya'. Jadi sebelum Seksyen 18C boleh digunakan untuk membatalkan sebarang kes, keputusan itu perlulah ditentukan sebagai sah terlebih dahulu.

Saya percaya bahawa sekiranya keputusan yang dibuat adalah tidak selari dengan perlembagaan parti, maka Peruntukan ini tidak melindungi keputusan tersebut.

Adalah sangat baik sekiranya BERLIMA membawa kes ini ke mahkamah untuk membolehkan mahkamah membuat tafsiran baru berhubung Seksyen 18C ini.

Adalah diharap bahawa mahkamah akan mengambil pendekatan yang lebih baik dan melindungi hak ahli parti berbanding niat penggubal undang-undang semata-mata.

Nota: Seksyen 18C adalah merupakan pindaan kepada Akta Pertubuhan 1966. Dalam membentangkan rang undang-undang pindaan ini bagi bacaan kali kedua, Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir menyatakan bahawa:

Pindaan kepada Undang-undang Pertubuhan ini terhad hanya kepada pentadbiran dan perjalanan parti politik sebagai parti politik. Ia akan menghalang penggunaan proses kehakiman untuk kepentingan politik ahli-ahli atau pemimpin-pemimpin parti politik. Ia akan membebaskan mahkamah daripada membuat keputusan-keputusan politik. Mahkamah dan sistem kehakiman tidak lagi dapat diperalatkan oleh orang-orang politik untuk mencapai kepentingan diri mereka sendiri.

[Rang undang-undang ini telah diluluskan dengan sokongan 72 ahli parlimen berbanding 21 menentang.]
Sumber: Hansard 13 Disember 1989



Tiada ulasan:

Catat Ulasan