Khamis, 12 Disember 2019

Pilihanraya UK 2019 & Fixed-Term Parliament Act 2011

Pada 2011 party Konservatif (Tory) yang membentuk kerajaan bersama parti Liberal Demokratik (LibDem) telah meluluskan Akta Penggal Tetap Parlimen 2011 (Fixed-Terms Parliament Act, FTPA).

FTPA adalah akta yang menetapkan penggal parlimen UK kepada 5 tahun dan juga menentukan tarikh pilihanraya pada hari Khamis pertama bulan Mei, 5 tahun selepas pilihanraya yang lalu. FTPA adalah hasil rundingan Tory & LibDem ketika membentuk kerajaan campuran.

Matlamat utama FTPA adalah bagi mewujudkan padang yang rata buat semua parti politik. Jika sebelum ini kerajaan yang memerintah bebas untuk memohon pembubaran Parlimen bagi membolehkan pilihanraya umum diadakan, FTPA mewajibkan pilihanraya diadakan setiap 5 tahun.

FTPA hanya membenarkan pilihanraya mengejut diadakan sekiranya:
1. Parlimen bersetuju untuk mengadakan pilihanraya dengan majoriti dua-pertiga.
2. Kerajaan dikalahkan dengan undi tidak percaya.

Ironinya selepas FTPA diluluskan, rakyat UK telah berhadapan dengan tiga pilihanraya umum iaitu 2015, 2017 dan terbaru 2019.

Pilihanraya 2015 merupakan permulaan FTPA dan sepatutnya menjadi penentu tarikh 5 tahun bagi pilihanraya seterusnya.

Bagaimanapun pada 2017 Theresa May berjaya mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen untuk mengadakan pilihanraya mengejut. Dan beliau kalah teruk sehingga terpaksa membentuk kerajaan minoriti.

Dan bagi pilihanraya 2019 Boris Johnson yang terdesak untuk menyelesaikan kemelut BREXIT pada mulanya telah gagal untuk mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen untuk mengadakan pilihanraya mengejut.

Walau bagaimanapun Boris berjaya meluluskan undang-undang baru, Early Parliamentary General Election Act 2019, yang hanya memerlukan sokongan majoriti mudah ahli Parlimen. Menariknya undang-undang ini tidak pula memansuhkan FTPA. Ianya cuma diluluskan khas untuk pilihanraya mengejut diadakan pada 2019. Keunikan sistem Parlimen UK dan prinsip kedaulatan Parlimen (supremacy of the parliament) menyaksikan undang-undang ini berjaya diluluskan dalam masa sehari.

Pilihanraya UK ini telah dianggap sebagai pilihanraya yang terpenting bagi generasi ini kerana ia bakal memberikan kuasa kepada kerajaan yang terpilih untuk mencorakkan UK pasca BREXIT. Berdasarkan bancian awam oleh YouGov, parti Konservatif masih mendapat kelebihan dan bakal membentuk kerajaan tetapi juga dengan majoriti yang kecil.

Bagi Boris Johnson, pilihanraya ini sangat penting untuk membolehkannya mendapat majoriti mutlak di Parlimen untuk meluluskan undang-undang bagi memastikan proses BREXIT berjaya diselesaikan. Semenjak pemerintahan Theresa May yang gagal mendapat sokongan majoriti mutlak Parlimen, kerajaan Tory telah mengalami kesukaran untuk menyelesaikan kemelut BREXIT.

Satu demi satu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen telah menyekat kebebasan dan kuasa kerajaan untuk bertindak. Malah usul kerajaan juga telah ditolak beberapa kali oleh Parlimen di mana ahli Parlimen Konservatif juga berpaling tada menolak usul kerajaan dan menyokong usul pembangkang (pada bulan September 2019 seramai 21 ahli Parlimen Konservatif telah bertindak menolak usul kerajaan).

Apa yang menarik dalam episod ini yang boleh dipelajari oleh Malaysia adalah parlimen seharusnya menjadi institusi yang berkuasa dan memainkan peranan pro-aktif yang menyemak imbang kerajaan. Walaupun di Malaysia kuasa Parlimen adalah terbatas oleh Perlembagaan, masih ada ruang yang cukup besar yang boleh digunakan bagi memperkasa peranan Parlimen untuk menyemak imbang kerajaan.

Malaysia juga wajar untuk melaksanakan akta penggal tetap Parlimen bagi memastikan semua pihak dapat bersedia untuk menghadapi pilihanraya tanpa ada serbuan (ambush) dari kerajaan untuk mengadakan pilihanraya umum secara mengejut.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan