Ahad, 9 Disember 2018

Pandangan Jujur Berkenaan ICERD

Ramai yang menentang ICERD, sehingga tercetusnya demonstrasi besar-besaran di ibu kota. Walau bagaimanapun saya memilih untuk menyokong ICERD atas pelbagai sebab.

ICERD, pada pandangan saya bukanlah:

1. Perjanjian
2. Pihak berkuasa antarabangsa
3. Mahkamah

ICERD adalah satu konvensyen antarabangsa, dan bukannya satu perjanjian antara negara-negara. Secara ringkasnya ada perbezaan di antara konvensyen dan juga perjanjian. Sesebuah perjanjian, sebagaimana perjanjian air di antara Malaysia dan Singapura bersifat mengikat dan mewujudkan kewajipan pada negara yang menandatangani perjanjian tersebut. Contohnya Malaysia hanya boleh menyemak semula kadar harga air mentah yang dijual ke Singapura selepas 25 tahun. Pada waktu lain Malaysia tidak boleh menyemak dan mengambil keputusan menaikkan harga air mentah.

Konvensyen antarabangsa pula bukanlah bersifat mengikat sebagaimana perjanjian. Konvensyen antarabangsa adalah komitmen antara negara-negara anggota untuk bekerjasama bagi mencapai satu matlamat yang sama. Dan bagi kes ICERD, ianya adalah bertujuan untuk menghapuskan amalan diskriminasi terhadap mana-mana pihak.

Konvensyen antarabangsa tidak bersifat menyeluruh sebagaimana perjanjian. Apabila kita memasuki perjanjian, sudah tentulah perlu menerima keseluruhan isi perjanjian tersebut. Akan tetapi bagi kebanyakan konvensyen antarabangsa, setiap negara berhak untuk merizabkan mana-mana peruntukan yang ia tidak mahu terikat. Konvensyen antarabangsa mahu menerima sebanyak mungkin penyertaan negara anggota. Jadi hak untuk merizab diperuntukkan bagi mengelak negara-negara yang tidak bersetuju dengan sesetengah peruntukan konvensyen tersebut dari menolaknya bulat-bulat. Di bawah Artikel 20 ICERD, negara-negara anggota bebas merizabkan mana-mana peruntukan.

Benar, negara anggota tidak boleh merizabkan peruntukan yang bercanggah dengan matlamat dan tujuan konvensyen, bahkan bantahan oleh dua-pertiga negara anggota juga akan menyebabkan perizaban itu sebagai tidak sah.

Akan tetapi di sinilah terdapatnya perbezaan ketara di antara perjanjian dan konvensyen.

Sesebuah konvensyen tidak mewujudkan tanggungjawab yang sama berat sebagaimana sebuah perjanjian. Pelanggaran tanggungjawab di bawah perjanjian boleh menyebabkan negara yang melanggar dibawa ke muka pengadilan (timbang tara, mahkamah antarabangsa, etc). Akan tetapi di bawah konvensyen antarabangsa, tiada negara boleh dipaksa untuk membuat sesuatu perkara tanpa persetujuan mereka. Tiada mana-mana negara boleh mendakwa negara lain kerana melanggar peruntukan konvesnyen seperti ICERD. Tiada badan yang bertindak seperti polis dunia yang akan menjatuhkan hukuman terhadap negara yang melanggar peruntukan ICERD.

Ramai yang berhujah bahawa ICERD akan membuka peluang kepada negara lain untuk masuk campur dalam urusan negara kita. Atas dasar apa? Kerana mereka boleh mengulas tentang dasar negara kita berkaitan isu diskriminasi?

Ya, benar mereka boleh mengulas ketika sesi semakan komitmen negara-negara anggota. Akan tetapi ulasan mereka hanyalah sekadar ulasan yang boleh ditolak oleh negara kita tanpa perlu mematuhinya. Untuk pengetahuan anda negara kita juga turut terlibat di dalam semakan tahunan Universal Periodic Review berkenaan hak asasi manusia di bawah PBB. Dan sangat banyak ulasan yang dibuat oleh negara lain berkenaan isu hak asasi di Malaysia. Tapi sehingga ke hari ini negara kita masih mengamalkan undang-undang dan peraturan yang sama kecuali beberapa yang mahu dirombak dan diubah kerana berlakunya perubahan kerajaan.

Pokoknya di sini selagi tiada tindakan oleh kerajaan Malaysia untuk menggubal undang-undang baharu berkenaan sesuatu perkara, tiada apa-apapun di dalam dunia ini yang boleh memaksa Malaysia ataupun rakyatnya untuk melakukan sesuatu perkara.

Sudah banyak kes yang diputuskan oleh mahkamah di Malaysia yang menolak peruntukan konvensyen antarabangsa selagi mana ianya tidak dijadikan undang-undang oleh badan legislatif kita iaitu Parlimen. Konvensyen antarabangsa sekalipun jika ianya disertai oleh Malaysia sebagai negara anggota tidak akan menjadi undang-undang secara automatik selagimana ianya tidak digubal di Parlimen.

Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara tidak memperuntukkan bahawa konvensyen antarabangsa adalah mengikat secara automatik. Dan negara kita menjunjung tinggi prinsip keluhuran Perlembagaan.

Antara badan yang ditubuhkan di bawah ICERD adalah Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Perkauman (Committee on the Elimination of Racial Discrimination) yang dianggotai oleh 18 ahli yang dipilih oleh negara-negara anggota menerusi undian rahsia (Artikel 8 ) dan setiap negara anggota berhak mencalonkan warganegara mereka untuk menganggotai Jawatankuasa tersebut.

Bukankah ini satu peluang buat Malaysia, selaku negara yang sering diiktiraf sebagai wira dunia ketiga, wira negara berkecuali dan wira negara Islam untuk menggagaskan satu gagasan antara negara-negara anggota ICERD yang berkepentingan sama untuk memilih ahli Jawatankuasa yang boleh membawa semangat serta tafsiran menurut perspektif Malaysia? Malaysia mempunyai pengaruh yang cukup kuat di kalangan negara-negara kecil yang mana mempunyai hak yang sama di mata ICERD. Dan ini sudah tentu berbeza dengan PBB yang mengiktiraf kuasa veto negara-negara tertentu yang akan menghalang tindakan yang mengancam kepentingan mereka seperti Amerika Syarikat yang sering menggunakan kuasa veto untuk menghalang tindakan terhadap negara haram Israel.

Di bawah ICERD, negara seperti Palestin mampu berinteraksi dengan negara seperti Israel. Dan Palestin telah membuat pengaduan terhadap Israel bagi mengecam penindasan terhadap rakyat Palestin di Gaza. Dan Israel selaku negara anggota ICERD terpaksa menjawab aduan tersebut dan tidak boleh berselindung di sebalik kuasa veto Amerika Syarikat.

ICERD bukan sahaja medan negara lain campur tangan dalam dasar kita tetapi juga medan kita mempromosikan idea dan iltizam negara kepada negara anggota yang lain.

Tidak salah jika kita ingin menentang ICERD. Tetapi biarlah penentangan tersebut dibuat dengan hujah yang berpijak di bumi yang nyata. Mengkhayalkan ancaman yang tidak wujud demi membangkitkan amarah rakyat yang tidak arif dengan hubungan antarabangsa adalah satu kejahatan yang tidak seharusnya berlaku.


Tambahan:

Contoh perizaban ICERD oleh beberapa negara:

Indonesia - merizab Artikel 22 dengan mensyaratkan rujukan sebarang isu ke ICJ mestilah dibuat dengan persetujuan kesemua pihak yang terlibat.

Thailand - merizab Artikel 22 dengan menolak keterikatan kepadanya. Juga merizabkan pentafsiran ICERD hanya setakat yang selari dengan undang-undang Thailand.

Vietnam - merizab Artikel 22 dengan menolak keterikatan kepadanya serta mensyaratkan rujukan sebarang isu ke ICJ mestilah dibuat dengan persetujuan kesemua pihak yang terlibat. Turut merizab Artikel 17 (1) dan 18 (1) berhubung penyertaan ke ICERD.

Singapura - merizab Artikel 2, 6 dan 22 dengan mensyaratkan rujukan ke ICJ mesti dibuat dengan persetujuan Singapura.

China - merizab Artikel 22 dengan menolak keterikatan kepadanya.

Amerika Syarikat - merizab Artikel 2, 6 dan 22 dengan mensyaratkan rujukan ke ICJ mesti dibuat dengan persetujuan Senat. Tidak menerima sebarang tanggungjawab khususnya di bawah Artikel 4 dan 7 melainkan ianya dijamin di bawah Perlembagaan.

Turki - merizab pelaksanaan ICERD hanya kepada negara yang mempunyai hubungan diplomatik. Turut merizab Artikel 22.

Iraq - merizab Artikel 22 dan menegaskan penyertaannya tidak membawa kepada pengiktirafan terhadap Israel.

Arab Saudi - merizab Artikel 22 dengan mensyaratkan rujukan ke ICJ mesti dibuat dengan persetujuan Arab Saudi.

Jepun - merizab Artikel 4 dengan menegaskan sebarang hak dan tanggungjawab adalah tertakluk kepada Perlembagaan Jepun.

Tambahan 2:
Contoh perizaban yang dibuat oleh Malaysia ke atas konvensyen antarabangsa:

1. CEDAW

Malaysia merizabkan pembacaan dan peruntukan CEDAW tertakluk kepada hukum Syariah dan Perlembagaan Persekutuan. Malaysia menolak keterikatan kepada Artikel 9 (2), 16 (1) (a), 16 (1) (c), 16 (1) (f) dan 16 (1) (g). Bagi Artikel 11, Malaysia mentafsirkan diskriminasi antara lelaki dan wanita sahaja.

2. CRC

Malaysia merizabkan peruntukan di bawah Artikel 2, 7, 14, 28, dan 37 dan pemakaiannya adalah tertakluk kepada undang-undang, Perlembagaan dan polisi negara.

3. CRPD

Malaysia merizabkan Artikel 15 dan 18 dan menolak keterikatan kepadanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan