Ahad, 29 Mei 2011

Biasiswa Milik Kita Bersama

Isu biasiswa datang lagi. Hari ini kita dapat membaca komen dari NGO pro-UMNO iaitu Gagasan Anti Penyelewengan Selangor atau GAPS, yang menyatakan bahawa hanya orang Melayu yang layak mendapat biasiswa menurut Perlembagaan Persekutuan. Demi menjadi bangsa yang bijak dan tidak mudah ditipu oleh mana-mana pihak, penulis mahu mengajak pembaca sekalian untuk menilai isu ini melalui kaca mata Perlembagaan Persekutuan itu sendiri, diserta juga dengan sedikit 'common sense' agar kita dapat berfikir dan membezakan mana yang betul dan mana yang salah.

Menyebut tentang biasiswa dan orang Melayu, pastilah yang perlu pertama sekali dilihat adalah Perkara 153 yang menyebut tentang tanggungjawab Yang DiPertuan Agong untuk membela orang Melayu dan Bumiputera. Begini bunyinya:

Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.


(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-aa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalnakan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk meindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(4) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut Fasal (1) hingga (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan mana-mana orang daripada apa-apa jawatan awam yang dipegang olehnya atau daripada terus mendapat biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain yang dinikmati olehnya.

(5) Perkara ini tidaklah mengurangkan peruntukan Perkara 136.

(6) ...

(7) ...
(8) ...

(a) ...
(b) ...
(c) ...

(8A) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(9) ...

(9A) ...

(10) ...


Seperti yang tertera dalam Perkara 153, adalah tidak salah bagi YDPA untuk memberi keistimewaan kepada orang Melayu dan Bumiputera. Ini juga selari dengan Klausa 5(c) Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa:

(5) Perkara ini tidak menidaksahkan atau melarang—

(a) ...
(b) ...
(c) apa-apa peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan atau pemajuan orang asli Semenanjung Tanah Melayu (termasuk perizaban tanah) atau perizaban bagi orang asli suatu perkadaran yang munasabah daripada jawatan-jawatan yang sesuai dalam perkhidmatan awam;
(d) ...
(e) ...
(f) ...


Jadi, melihat kepada dua peruntukan dalam Perlembagaan ini, dapat dinyatakan di sini bahawa sememangnya di bawah Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu dan Bumiputera berhak untuk mendapat keistimewaan dalam peruntukan biasiswa. Ini tidak boleh disangkal. Kerana ini ada dalam Perlembagaan. Yang menjadi persoalan sekarang, adakah hanya orang Melayu dan Bumiputera yang layak diberi biasiswa?

Di sinilah kita perlu berfikir dengan waras. Perkara 153 (4), dinyatakan bahawa walaupun YDPA itu boleh membela orang Melayu, itu tidak bermaksud YDPA boleh menidakkan bantuan kepada orang lain. Boleh difahami bahawa orang lain itu adalah kaum bukan Bumiputera. Terang dan jelas dinyatakan bahawa,

"Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut Fasal (1) hingga (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan mana-mana orang daripada apa-apa jawatan awam yang dipegang olehnya atau daripada terus mendapat biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain yang dinikmati olehnya."

Nah, ini satu penegasan bahawa walaupun orang Melayu dan Bumiputera itu mendapat keistimewaan, namun keistimewaan itu tidaklah sampai menidakkan kaum bukan Bumiputera. Mereka juga layak untuk dibantu. Tidak salah dari segi Perlembagaan untuk membantu mereka. Bahkan jika ditimbang dengan akal yang waras, sememangnya patut mereka juga mendapat bantuan.

Kenapa?

Kerana mereka juga membayar cukai! Adalah tidak adil bahkan sangat zalim bagi kita orang Melayu, yang mana mendapat faedah daripada pembayaran cukai dari orang bukan Melayu untuk menidakkan bantuan kepada mereka. Dana untuk biasiswa itu bukankah duit kerajaan? Dan dari mana kerajaan mendapat dana kewangan kalau tidak sebahagiannya juga dari pungutan cukai orang bukan Melayu? Ini perlu difikir dengan waras. Jangan biar faham perkauman menjahanamkan kemanusiaan kita.

Jika mahu menidakkan biasiswa, maka satunya cara untuk melaksanakannya adalah dengan mewujudkan satu tabung biasiswa khas bagi orang Melayu dan Bumiputera. Dan tabung ini mesti dibiayai 100% oleh orang Melayu dan Bumiputera sahaja. Orang Cina dan India jika ada menyumbang, maka wajib dibuka tabung ini kepada mereka juga. Satu ketika dulu Mukhriz Mahathir mencadangkan agar UMNO mewujudkan biasiswa UMNO. Jadi saya rasa ini adalah contoh biasiswa yang khusus unutk orang Melayu saja. Kerana sememangnya UMNO untuk Melayu.

Kesimpulannya, orang Melayu memiliki kelebihan dan keistimewaan dari segi pembahagian biasiswa. Namun begitu, ia tidaklah sampai menidakkan bantuan kepada kaum bukan Melayu. Sudah sampai masa kita sebagai rakyat Malaysia menghayati semangat 1Malaysia, bahawa kita Melayu, Cina, India dan lain-lain adalah bersaudara dalam menjalani hidup di bumi bertuah ini. Jadi siapa yang bijak, Melayu Cina India, bantulah mereka kerana kelak, sebagai orang Malaysia, mereka juga akan membantu untuk memajukan Malaysia demi kemakmuran bersama Melayu Cina India.


3 ulasan:

  1. Salam Fuad, would like to get in touch with you. Do email me. I see a link between your work and http://www.perlembagaanku.com/ (friends of mine).

    ZainHD [at] wago.com.my

    BalasPadam
  2. Salam saudara Fuad,

    Nama saya Syahredzan, saya dimaklumkan tentang blog saudara oleh Zain (komen sebelum ini).

    Saudara begitu passionate tentang Perlembagaan! Sudikah saudara menjadi ahli Jawatankuasa Undang2 Perlembagaan Majlis Peguam, yang menjalankan kempen MyConstitution/PerlembagaanKu? Saya merupakan Pengerusi Jawatankuasa tersebut untuk penggal ini.

    Jika sudi, sila e-mel saya di syahredzan.johan@gmail.com

    BalasPadam
  3. Well said, we develop as a nation based on meritocracy. Abandon the old mindset of races.
    Aku anak Malaysia.

    Cheers

    BalasPadam