Jumaat, 6 Mei 2011

Siapa Lebih Berkuasa? (i)

Apabila seseorang itu melibatkan diri dalam pelajaran tentang Undang-undang Perlembagaan, tidak dapat tidak, pastilah akan terjebak dalam perdebatan mengenai siapa yang lebih tinggi, Perlembagaan, atau penggubal undang-undang (Parlimen). Teori yang biasa kita dengar menyatakan bahawa apabila adanya perlembagaan bertulis, maka secara automatik, perlembagaan akan lebih tinggi dari Parlimen. Contohnya, Perlembagaan Persekutuan. Di bawah Artikel 4(1), "Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu". Ini adalah satu klausa yang menabalkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia. Maka, ia lebih tinggi dari Parlimen.

Jika kita melihat Perlembagaan per se, maka kita akan melihat Perlembagaan sebagai satu dokumen yang sangat berkuasa. Kebal dari dicabuli oleh pihak lain. Dalam Artikel 4 (1) kita ada penegasan bahawa semua undang-undang mesti akur pada ketinggian Perlembagaan. Dalam Artikel 159 kita ada syarat ketat yang ditetapkan oleh Perlembagaan untuk merubah mana-mana bahagian dalam Perlembagaan. Di bawah klausa (3), pindaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen. Satu jumlah yang besar. Di bawah klausa (5) pula lebih ketat lagi syaratnya. Untuk merubah mana-mana bahagian di bawah Bahagian III, Artikel 38, 63 (4), 70, 71 (1), 72 (4), 152, atau 153, ia mesti wajib mendapat persetujuan dari Majlis Raja-raja. Gah bunyinya, bukan? Tapi adakah realitinya begitu?

Di negara yang tidak mempunyai Perlembagaan bertulis, Britain contohnya, Parlimen adalah penggubal undang-undang tertinggi negara. Mana-mana undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, akan sah dan tidak boleh dicabar atau diisytihar sebagai tidak sah oleh mana-mana mahkamah. Dengan itu, tidak timbul persoalan 'constitutional supremacy' kerana secara kasarnya, tidak ada perlembagaan untuk membatasi kuasa Parlimen menggubal undang-undang. Yang ada hanya amalan dan adat yang sudah 'established' dan diterima sebagai undang-undang. Ini tentulah bertentangan dengan situasi di Malaysia. Seperti yang dinyatakan di atas, Artikel 4 (1) menabalkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Persoalan 'constitutional supremacy' adalah penting dalam perbincangan mengenai 'constitutionalism' kerana 'constitutionalism' mewajibkan 'constitutional supremacy' sebagai syarat tercapainya idea itu. Jika tiada 'constitutional supremacy' atau ketinggian Perlembagaan, maka tidak mungkin tercapai idea 'constitutionalism'. 'Constitutionalism' secara ringkasnya mengkehendaki bahawa kerajaan yang ada mesti tertakluk di bawah Perlembagaan dan tidak boleh sesuka hati bertindak menurut kepentingan mereka. Mesti ada satu mekanisma untuk menghadkan kuasa kerajaan.

Jadi, persoalan yang ingin penulis utarakan di sini adalah, adakah dengan adanya sebuah perlembagaan bertulis, maka secara automatik, perlembagaan itu lebih tinggi dari Parlimen?

Seperti yang telah dinyatakan, jika dilihat di atas kertas, ya, memang benar, Perlembagaan Persekutuan adalah lembaga yang paling berkuasa di Malaysia. Namun, adakah realitinya, memang sebegitu? Adakah Perlembagaan itu masih tinggi apabila Parlimen boleh berkuasa meminda mana-mana bahagian dalam Perlembagaan? Bahkan Artikel 159 juga boleh dipinda!

Sejarah telah menunjukkan kepada kita betawa liciknya ahli politik dalam mencapai matlamat mereka. Benar, ketika Lord Reid menggubal perlembagaan kita, beliau meletakkan syarat ketat untuk memindanya bagi mengelak pencabulan rakus dari ahli Parlimen. Namun harus diingat, ahli politik itu lebih licik dari Lord Reid. Lihat saja, Artikel-artikel yang kononnya kebal akhirnya tumbang juga di tangan ahli politik. Jangan kita lupa bagaimana pada tahun 1983 Parlimen telah berjaya menghapuskan kuasa Yang di Pertuan Agong untuk menghalang terlaksananya undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Sebelum 1983, sebarang undang-undang yang diluluskan mesti diperkenankan terlebih dahulu oleh Yang di Pertuan Agong (YDPA). Sekiranya YDPA tidak memperkenankannya, maka undang-undang itu tidak akan terlaksana. Dan hebatnya kerajaan pada masa itu, mereka berjaya juga untuk menghapuskan kuasa YDPA ini. Sekarang, selepas pindaan, Artikel 66 (4) berbunyi begini,

(4) Yang di-Pertuan Agong hendaklah dalam masa tiga puluh hari selepas sesuatu Rang Undang-Undang dikemukakan kepadanya memperkenankan Rang Undang-Undang itu dengan menyebabkan Mohor Besar dicapkan pada Rang Undang-Undang itu.


dan ditambah pula dengan klausa (4A),

(4A) Jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4), Rang Undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah dia telah memperkenankannya.


Nah, jika diperhati, undang-undang ini menggugat kuasa YDPA, bukan? Dan sudah tentu untuk menghapuskannya memerlukan persetujuan dari Majlis Raja-raja. Jika diperhatikan lagi, pindaan sebegini, adalah yang paling susah untuk terlaksana, atas sebab rumitnya syarat-syarat yang dikenakan ke atas Parlimen. Tapi, seperti yang dapat dilihat, telah berjaya dipinda juga.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan