Jumaat, 13 Mei 2011

Kebebasan Yang Terpenjara

Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—

(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;
(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;
(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan—

(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan;

(b) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persektuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam;

(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.



Artikel 10 merupakan salah satu bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan yang dianggap sebagai sensitif dan penuh kontroversial. Artikel 10 merupakan jaminan dari Perlembagaan bahawa kita sebagai rakyat Malaysia, mempunyai hak untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Kenapa kita ada Artikel 10 dalam Perlembagaan? Kerana kita mahu jadi negara demokrasi. Dalam negara demokrasi, rakyat berkuasa. demokratía. Dan penzahiran kuasa rakyat adalah dengan menyanggah pemimpin yang mereka rasa tak patut jadi pemimpin. Dengan kotak undi, atau dengan bercakap, berhimpun, & berpersatuan. Negara yg demokratik akan meraikan 3 hak ini. Negara yg autokratik seperti Malaysia akan melekehkan 3 hak ini.

Hak kebebasan untuk bercakap, berhimpun & berpersatuan sepatutnya menjadi hak yang asasi bagi rakyat. Kerajaan sepatutnya hanya boleh masuk campur apabila ianya mengganggu orang lain. Rakyat sepatutnya bebas untuk menzahirkan sokongan atau bangkangan mereka terhadap sesuatu perkara. Kenapa perlu disekat?

Adalah hairan, apabila dari satu sisi, Perlembagaan digelar sebagai undang-undang tertinggi, yang menjamin hak-hak untuk rakyat Malaysia. Hak yang mesti mereka miliki, yang tak boleh dicabuli oleh Kerajaan. Kerana itu Perlembagaan digelar sebagai undang-undang tertinggi, untuk menghalang Kerajaan dari menggubal undang-undang yang bertentangan dengan hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan.

Sesetengah orang terlalu suka untuk membaca Perlembagaan hanya pada huruf-hurufnya saja. Ya, jika dibaca begitu, memang Perlembagaan sendiri telah memberi kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang yang ia rasakan perlu. Tapi, penulis percaya bahawa ini bukan bacaan yang paling tepat. Harus juga diteliti falsafah di sebalik hak-hak ini. Seperti yang dinyatakan di atas.

Undang-undang Malaysia telah menjadikan hak-hak ini sebagai lawak jenaka. Anda tidak ada langsung kebebasan berhimpun. Anda hanya dibenarkan berhimpun. Kerana itu wajib meminta permit sebelum sebarang rapat umum, demonstrasi ingin diadakan.

Malah lebih teruk lagi, hak-hak yang tersebut dalam bahagian kedua Perlembagaan Persekutuan ini boleh pula dilanggar secara sah oleh Parlimen menerusi kuasa yang diberi melalui Perkara 149. Aneh bukan?

Telah berkata Justice Abdul Hamid,

“If there arises any real emergency, and that should only be an emergency of the type mentioned in [Art. 150], then and only then should such extraordinary powers be exercised. It is in my opinion unsafe to leave in the hands of Parliament power to suspend constitutional guarantees only by making a recital in the Preamble that conditions in the country are beyond the reach of ordinary law. Ordinary legislative and executive measures are enough to cope with a situation of the type described in [Art. 149]. That article should in my view be omitted. There should be no half-way house between government by ordinary legislation and government by extraordinary legislation …”

Lihat bagaimana beliau telah mampu untuk meramal ke masa hadapan? Apa yang berlaku hari ini? ISA, OSA, PPA. Apa lagi? Semua telah disalah guna untuk merampas hak rakyat bersuara, berhimpun, berpersatuan.

Lebih malang bagi rakyat Malaysia, setelah dibuli oleh Kerajaan, nyata sekali mereka tidak dapat untuk mengadu nasib kepada mahkamah kerana mahkamah Malaysia lebih cenderung untuk menghalalkan undang-undang yang digubal oleh kerajaan. Lihat saja dalam kes Yee Kim Seng contohnya. Mahkamah memutuskan bahawa tugas mahkamah hanyalah untuk menjalankan undang-undang seperti yang terdapat dalam Akta-akta. Samada sesuatu undang-undang itu zalim, menindas, dan sebagainya, bukanlah untuk diputuskan oleh mahkamah. Hairan bukan? Mahkamah yang sepatutnya menjadi pelindung bagi rakyat jelata akhirnya menjadi sekadar alat bagi menindas rakyat jelata.

Sudah banyak berlaku insiden pencabulan hak asasi manusia di Malaysia. Dengan wujudnya pelbagai akta yang kononnya bagi menjamin keselamatan negara, rakyat terus hidup atas belas ihsan kerajaan semata-mata. Hasilnya, rakyat yang takut akan kerajaan, bukan kerajaan yang takut akan rakyat walaupun realitinya, rakyatlah sebenarnya yang memilih kerajaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan