Menyedari bahawa Parlimen tidak mempunyai bidang kuasa bagi membuat undang-undang berkaitan dengan Perlembagaan Negeri Sarawak, kerajaan telah mengisytiharkan darurat khusus bagi negeri Sarawak seminggu selepas Stephen Kalong Ningkan dikekalkan sebagai Ketua Menteri oleh mahkamah. Dan dengan pengisytiharan darurat ini, Parlimen telah meminda Perlembagaan Negeri Sarawak dengan memberi kuasa kepada Governor untuk memecat Ketua Menteri, sesuatu yang tidak boleh dilakukan sebelum itu, sebagaimana yang terjadi dalam kes ini. Dan lihatlah, dengan mudah, Parlimen telah berjaya mendapat apa yang ia ingini, tanpa apa-apa masalah.
Inilah yang disebut oleh pakar perlembagaan, Andrew Harding, ". . . whatever cannot be achieved through the exercise of ordinary legislative and executive power can usually be achieved through the exercise of emergency power" bermaksud apa yang tidak boleh dicapai melalui cara perundangan biasa boleh dicapai melalui perlaksanaan kuasa darurat. Dan sesungguhnya inilah yang telah berlaku dalam negara yang kononnya mempunyai Perlembagaan yang berkuasa.
Jika dilihat dengan teliti, Perlembagaan, walaupun diangkat sebagai undang-undang tertinggi, kononnya, juga telah memberi seluas-luas kuasa kepada Parlimen untuk mencabuli prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya. Lihat saja bagaimana Perkara 150 memberi kuasa untuk kerajaan menerusi YDPA mengisytiharkan darurat dan pengisytiharan itu langsung tidak boleh dicabar. Dan lihat juga Perkara 149 yang memberi kuasa kepada Parlimen untuk menidakkan Perkara 5, 9, 10 atau 13. Hairan bukan? Perlembagaan adalah yang paling berkuasa namun pada masa yang sama, orang lain diberi kuasa untuk menidakkan prinsip penting dalam perlembagaan. Menurut Harding lagi, ". . . powers of Parliament, though theoretically limited by the Constitution, are in practice virtually unlimited."
Perkara 149 yang memberi kuasa kepada Parlimen untuk menidakkan Perkara 5, 9, 10 atau 13 adalah satu keanehan yang nyata. Dengan adanya kuasa ini, ia seolah-olah menjadikan Perkara 5, 9, 10 atau 13 sebagai tidak bermakna apa-apa. Kerana Parlimen dengan mudah, bila masa saja yang ia mahu, mencipta undang-undang yang melanggar prinsip-prinsip yang terkandung dalam Perkara 5, 9, 10 atau 13, hanya dengan memasukkan salah satu dari sebab yang terkandung dalam klausa (1). Jadi untuk apa adanya Perkara 5, 9, 10 atau 13 jika ia boleh dilanggar? Jelas sekali "apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu" hampir pasti tidak terjadi kerana terlalu banyak lubang-lubang yang boleh diguna oleh Parlimen!
Secara ringkasnya, penulis sangat bersetuju dengan kenyataan dari Andrew Harding, ". . . powers of Parliament, though theoretically limited by the Constitution, are in practice virtually unlimited". Kerana memang, dalam Perkara 4 kita ada pengisytiharan ketinggian Perlembagaan. Namun begitu, dengan kelicikan ahli politik, dengan kuasa jentera propaganda yang dimiliki mereka, diburukkan lagi dengan pelbagai lubang yang sedia ada dalam Perlembagaan itu sendiri, menjadikan ketinggian Perlembagaan itu tidak lebih sekadar mimpi yang tak pasti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan