Rabu, 1 Jun 2011

Kuasa Siapa?

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk meminda perlembagaan terletak di tangan parlimen. Jelas dinyatakan melalui Perkara 159. Ini adalah selari dengan konsep demokrasi kerana rakyat yang melantik ahli parlimen. Dalam bahagian hak asasi, perkataan 'Parlimen' telah digunakan dalam peruntukan yang membenarkan sekatan ke atas hak-hak yang diberikan. Contohnya,

Perkara 6. Keabdian dan kerja paksa dilarang.

(1) ...

(2) Segala bentuk kerja paksa adalah dilarang, tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan mengenai perkhidmatan wajib bagi maksud-maksud negara.

Kenapa? Kerana menurut amalan demokrasi, rakyat lah yang berkuasa. Jadi sekiranya perkataan 'Kerajaan' yang digunakan, maka ini sudah tentu tidak demokrasi. Jadi, rakyat perlu dilihat berkuasa, sekurangnya di atas kertas, dan hanya rakyat, menerusi Parlimen, yang berhak menghadkan kebebasan mereka, .

Namun begitu, ada sedikit kepincangan yang nyata dalam sistem negara kita yang boleh merosakkan nilai demokrasi. Kepincangan ini berdasar pada peruntukan dalam perlembagaan persekutuan yang mengkehendaki YDPA untuk melantik Perdana Menteri dari kalangan ahli parlimen. Jadi, eksekutif dan legislatif telah menjadi satu. Ini bertentangan dengan konsep pengasingan kuasa. Malahan pula, apabila eksekutif mewakili suara terbanyak dalam parlimen, maka apabila ada pindaan, akan ada konflik kepentingan kerana kerajaan sudah tentu mahu berkuasa atas rakyatnya. Oleh kerana eksekutif itu datang dari legislatif yang adatnya dari parti yang sama, maka sudah tentu mereka boleh buat apa saja. Dan ini sudah tentu melanggar prinsip demokrasi. Parlimen bukan lagi mewakili suarat rakyat, tapi mereka sekarang mewakili parti politik masing-masing. Apa yang baik untuk kerajaan itulah yang mereka sokong, bukan sebaliknya walau apa kata rakyat sekalipun.

Perkara 43 tekah mengabsahkan kepincangan ini. Jika dilihat, seorang ketua Eksekutif mesti dilantik dari kalangan anggota Parlimen. Jadi, telah berlaku pertindihan kuasa di antara Eksekutif dan Legislatif, sekaligus membatalkan konsep pengasingan kuasa yang sangat penting.

Perkara 43. Jemaah Menteri.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam: penjalanan fungsinya.

(2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:

(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan
(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen; tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baru itu, dan dalam apa-apa hal lain, dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Adatnya dalam politik Malaysia, apabila sesebuah parti membentuk majoriti dalam Parlimen, maka parti itu akan melantik Perdana Menteri yang kebiasaannya adalah Presiden parti itu. Jadi, apabila ini berlaku, sudah tentu berlaku konflik kepentingan yang melampau khususnya apabila mahu diadakan pindaan kepada Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen undang-undang yang mengikat semua manusia di Malaysia. Jadi, adalah salah jika kuasa memindanya diserahkan kepada kerajaan yang juga terikat dengannya. Ia harus diserah kepada rakyat, menerusi Parlimen. Dan sememangnya inilah idea yang cuba diterapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Tapi dengan adanya Perkara 43 ini, ia tidak mungkin jadi kenyataan.

Sebagai alternatif, seharusnya Perkara 43 ini dibuang dan diganti dengan sistem Presiden sebagaimana yang ada di Amerika Syarikat yang jelas memisahkan Eksekutif dan Legislatif. Dengan cara ini, konflik kepentingan akan dapat dikurangkan dan Eksekutif akan dapat diikat dengan peruntukan Perlembagaan. Rakyat tidak perlu lagi merasa bahawa Perlembagaan itu satu kekangan kepada mereka seperti mana undang-undang lain. Sebaliknya, mereka akan melihat ia sebagai dokumen yang melindungi mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan