Sabtu, 14 Mei 2011

"Kristian ialah agama bagi Persekutuan"

Dua tiga hari ini kecoh benar dengan apa yang dikatakan sebagai konspirasi untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, menggantikan Islam. Dan semalam ia dianggap selesai dengan pertemuan antara Perdana Menteri dengan paderi-paderi dan Kementerian Dalam Negeri juga telah mengeluarkan amaran kepada Utusan.

Sebelum pergi, penulis ingin komen sedikit tentang pendapat dari seorang 'pakar perlembagaan' yang mendakwa bahawa tiada istilah Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Ini sebenarnya tidaklah berapa tepat dan tidak juga salah. Istilah ini sebenarnya sudah diterima masuk dalam sistem perundangan Malaysia melalui penghakiman dari hakim-hakim dalam kes-kes yang mereka putuskan. Contohnya dalam kes Lina Joy v Majlis Agama Wilayah & Anor [2004] 2 MLJ 119, hakim telah menyatakan bahawa, "Article 3(1) has a far wider and meaningful purpose than a mere fixation of the official religion". Ini menunjukkan bahawa istilah 'official religion' atau agama rasmi itu sudah diterima dalam sitem perundangan kita. Tidak betul jika kita kata ia tidak ada semata kerana ia tiada dalam Perlembagaan kita.

Jadi persoalan sekarang, terjaminkah Islam sebagai agama rasmi Persekutuan? Jika kita tinggal di negara malaikat, ya sudah tentu. Semua orang hormat pada undang-undang. Tapi ini Malaysia. budaya politik kita adalah apa saja yang Kerajaan mahu, ia pasti dapat. Tidak mustahil langsung untuk Perkara 3 dibuang. Dan yang berpotensi untuk membuang Perkara 3 adalah UMNO yang punya keupayaan dan juga pengalaman!

Seperti yang pernah penulis tulis sebelum ini, Perlembagaan sebenarnya 'helpless' apabila berhadapan dengan kuasa Parlimen untuk meminda apa saja bahagian yang ia tidak suka. Dan penulis percaya, Perkara 3 ini juga tidak terkecuali. Namun jika dilihat melalui bacaan politik, perkara ini tidak mungkin akan berlaku dalam masa terdekat. Kenapa?

Kerana majoriti penduduk Malaysia adalah orang Islam. Jadi majoriti ahli Parlimen juga beragama Islam. Sangat mustahil, dalam masa 10-20 tahun ini, orang Islam menjadi minoriti di Malaysia, hanya Allah yang dapat menjadikannya realiti. Malah DAP, yang dituduh sebagai dalang bagi konspirasi ini, tidak mampu untuk meminda Perlembagaan mengikut suka hatinya. DAP tidak memiliki dua pertiga kerusi Parlimen. Seperti yang dinyatakan di atas, hanya UMNO yang boleh meminda Perkara 3 jika ia berhajat. Dan tidak mustahil ia akan berlaku, kerana sejarah telah membuktikan bahawa UMNO pernah menghapuskan kuasa Raja, sesuatu yang ia berjanji mahu pertahankan.

Isu agama adalah terlalu sensitif di Malaysia. Adalah dikira 'bunuh diri' jika ada parti politik yang mahu menukar status quo berkaitan agama. Jadi menukar agama rasmi, adalah terlalu jauh dari jangkauan akal yang sihat. Jika ada, percayalah, pasti parti itu akan ditolak dek kerana sentimen agama yang masih menebal dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Jadi saranan penulis, tak usah melatah dengan isu ini. Dari segi Perlembagaan, ia memang mungkin berlaku. Kerana tiada yang tidak dapat dibuang dari Perlembagaan. Tapi dari segi politiknya, tidak mungkin ia akan berlaku. Sekurangnya, untuk 20-30 tahun ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan