Sabtu, 4 Ogos 2012

Pasca Penghakiman Bersih 2.0 (Bahagian 1)


[Pasca Penghakiman Bersih 2.0]



Di dalam teori pengasingan kuasa, setiap bahagian dalam kerajaan iaitu kehakiman, legislatif dan eksekutif semuanya berada pada satu tahap yang sama dan tiada yang mengatasi yang lain. Falsafah utama dalam teori ini adalah kuasa tidak seharusnya dipusatkan kepada satu entiti sahaja dan haruslah ada satu mekanisma untuk semak dan imbang keputusan yang dibuat oleh sesebuah entiti.  Sebagai contoh, kuasa eksekutif tidak seharusnya mutlak dan tanpa semakan kerana ia akan membiakkan kediktaktoran.
Menurut Montesquieu,

There would be an end of everything, were the same man or the same body, whether the nobles or of the people, to exercise those three powers, that of enacting laws, that of executing the public resolutions, and of trying the cause of individuals.[1]

Badan kehakiman sememangnya memainkan peranan yang sangat besar dalam menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap kuasa eksekutif dan legislatif. Di Malaysia, konsep pengasingan kuasa yang digunapakai bukanlah sebagaimana di Amerika Syarikat di mana terdapatnya pengasingan yang jelas antara kehakiman, legislatif dan eksekutif. Di Malaysia pula sistem yang diterima adalah berasaskan model Westminster di mana tiada pengasingan yang jelas antara eksekutif dan legislatif. Maksudnya menurut model ini, Perdana Menteri mestilah datang dari kalangan ahli Parlimen yang merupakan anggota badan legislatif. Dan kebiasaannya, majoriti kabinet Perdana Menteri yang merupakan ketua badan eksekutif adalah terdiri daripada anggota badan legislatif. Jadi berlakunya pertindihan kuasa di antara badan eksekutif dan legislatif. Kerana itulah, badan kehakiman perlu memainkan peranan yang sangat besar dalam memastikan kuasa yang digunakan oleh kedua badan di atas tidak melampaui apa yang telah dihadkan oleh Perlembagaan.

Salah satu cara bagi badan kehakiman untuk mengawal badan eksekutif dan legislatif adalah melalui mekanisma yang dikenali sebagai semakan kehakiman (judicial review). Semakan kehakiman adalah mekanisma yang digunakan oleh badan kehakiman untuk menyemak kembali keputusan yang diambil oleh badan eksekutif dan legislatif. Menurut John Marshall CJ dalam kes Marbury v Madison,

The powers of the legislature are defined and limited; and that those limits may not be mistaken, or forgotten, the constitution is written. To what purpose are powers limited, and to what purpose is that limitation committed to writing, if these limits may, at any time, be passed by those intended to be restrained?

Penghakiman ini telah dianggap sebagai salah satu cubaan terawal untuk memperkenalkan konsep semakan kehakiman dan seperti yang boleh diperhatikan, bilamana adanya satu perlembagaan yang bertulis, maka wajiblah kuasa-kuasa yang dibentuk oleh perlembagaan itu untuk menurut apa yang telah ditetapkan oleh perlembagaan. Di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa;

Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.[2]

Ada beberapa cara bagaimana semakan kehakiman berfungsi. Antara yang paling menonjol adalah menentukan samada sesuatu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, adalah menurut Perlembagaan atau tidak dan juga menentukan samada keputusan yang diambil oleh badan eksekutif, sebagai adil dan munasabah atau tidak.

bersambung....

[1] The Spirit of the Laws (translated by Thomas Nugent, New York: Hafner Press, 1949) p 151
[2] Perkara 4, klausa 1 Perlembagaan Persekutuan



2 ulasan: