Maka pada hari baik bulan baik ini, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Najib Tun Razak telah bersetuju untuk menghapuskan akta zalim, Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lebih popular dengan ISA (Internal Security Act). Akhirnya, selepas 51 tahun menzalimi rakyat, akta ini dikuburkan. Antara yang menjadi mangsa ISA adalah Dr Burhanuddin al-Helmy yang ketika itu merupakan YDP PAS. Sungguh malang apabila ISA hanya dihapuskan selepas Dr Burhanuddin sudah lama meninggal dunia, setelah terpaksa menderita dalam tahanan ISA.
Sebagai rakyat Malaysia, adakah pemansuhan ini bermakna kita sudah merdeka? Adakah kita sudah boleh berpesta menyambut langkah kerajaan ini?
Akta kejam ISA ini wujud berdasarkan pada kuasa yang telah diwujudkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada kerajaan untuk menidakkan beberapa hak asasi rakyat atas nama menjaga keamanan negara. Menurut Perkara 149, hak yang boleh digantung adalah:
Perkara 5. Kebebasan diri.
Perkara 9. Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak.
Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
Perkara 13. Hak terhadap harta.
Ketika Perlembagaan masih dalam proses rangkaan oleh Suruhanjaya Reid (suruhanjaya Reid, bukan Lord Reid), seorang hakim dari Pakistan, Justice Abdul Hamid yang merupakan salah seorang ahli dalam suruhanjaya tersebut telah menyuarakan bantahannya terhadap Perkara 149 ini. Menurut beliau:
“If there arises any real emergency, and that should only be an emergency of the type mentioned in [Art. 150], then and only then should such extraordinary powers be exercised. It is in my opinion unsafe to leave in the hands of Parliament power to suspend constitutional guarantees only by making a recital in the Preamble that conditions in the country are beyond the reach of ordinary law. Ordinary legislative and executive measures are enough to cope with a situation of the type described in [Art. 149]. That article should in my view be omitted. There should be no half-way house between government by ordinary legislation and government by extraordinary legislation …”
Lihat bagaimana beliau telah mampu untuk meramal ke masa hadapan? Menghapuskan ISA itu tidak ada makna sekiranya kerajaan masih membiarkan Perkara 149. Kerajaan seharusnya lebih bersungguh-sungguh dalam menghapuskan undang-undang tahanan tanpa bicara dengan meminda Perkara 149. Lebih malang, dalam masa beliau berjanji untuk menghapuskan ISA, Najib Razak juga telah pun memberi amaran bahawa 2 undang-undang lain menanti rakyat! Kata beliau,
"dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan."
Nah, ini adalah bukti bahawa menghapuskan ISA itu bukannya perkara yang boleh kita raikan. ISA bukan satu-satunya undang-undang zalim yang masih wujud di Malaysia. Jangan lupa pada Ordinan Darurat yang digunakan untuk menahan anggota Parti Sosialis Malaysia baru-baru ini. Kita sebagai rakyat yang bencikan kezaliman harus melihat penghapusan ISA ini dengan berhati-hati. Jangan kita menyangka bahawa kita sudah menang. Tidak sama sekali.
Selagi mana masih wujud peruntukan yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk memenggal hak rakyat, maka selagi itulah perjuangan ini belum selesai!
kasihan kat rakyat...da lah media massa pun berat sebelah..'bijak' sungguh malaysia..
BalasPadam